Siapa Ganti Mat Rock
Suatu yang tingkah meningkah dari pentas di depan sana, jelas sebutir masuk ke telingnya
Mat Rock tetap tada telinga. Nada suara Hairul, yang memegang watak hero, cukup tinggi membentak-bentak memarahi kekasihnya kerana hadir lewat lapan minit dalam
pertemuan di malam itu, memberi ingat kepada Mat Rock, masanya untuk beraksi sudah hampir tiba.
Mat Rock tarik nafas panjang cuba bertenang. Pun begitu,bedebab bedebub dalam dadanya tetap ketara.Tiba-tiba
saja ada senak dalam ari-ari.Tiba-tiba saja datang memulas dalam perutnya. Namun Mat Rock cuba bertahan. Mat Rock cuba juga bawa-bawa bertenang.
"Lepas hero marah-marah pada heroin, lepas tu heroin pula pujuk-pujuk hero dan kemudiannya mereka menyanyi bersama, lampu besar akan padam sekejap. Bila lampu nyala semula, masa tu la kamu muncul dan sergah mereka
berdua. Sergah betul-betul....!"Pesanan Cikgu Salleh, guru kelas juga merangkap pengarah drama malam itu diingati benar-benar, Mat Rock capai topeng berwajah hantu dari atas meja. Perlahan-lahan, Mat Rock pakaikan ke muka.
"Orang lain berlakun jadik hero....tak pun second gero, ini kau jadi hantu. Mana ada kelas?!"Mat Rock teringat pula kutukan demi kutukan yang diterimanya sejak dia menyenaraikan namanya untuk drama sekolah itu. Camana aku nak jadi hero?
Dahlah hidung aku kembang semacam aja, gigi aku pula lebih banyak terkeluar dari yang masuk baris. Karang ada yang kutuk aku hero jongang pula. Pegang watak hantu pun tak apalah, asalkan perangai jangan macam hantu! Mat Rock bersoal serta
memujuk dirinya sendiri. Dari pentas di depan, suara heroin yang sedang memujuk hero jelas mendayu-dayu masuk ke telinga Mat Rock. Bedebab bedebub dalam dada Mat Rock masih lagi kencang.
Masanya untuk beraksi sudah hampir sampai......
Aku akan buktikan pada semua pengutuk-pengutuk itu bahawa aku ini berbakat seni. Beri aku lapan belas tahun lagi, masa itu aku akan jadi seorang superstar. seorang superstar yang hebat! Mat Rock senyum sendiri.
Mat Rock tarik nafas dalam-dalam. Satu, dua, tiga,.....namun pada hitungan yang kelima, Mat Rock tetiba terbongkok memegang perut. Rasa senak dalam ari-ari sudah tidak dapat ditahan lagi. Rasa memulas dalam perut pula bagaikan
menyucuk-nyucuk tidak tertanggung lagi. Mat Rock kerling kepada pintu kecil. Hatinya berbelah bagi. Mahu ke pentas menunjukkan aksi atau ke bilik kecil melepaskan hajat?
bedebab bedebub Arghhh! Arghhh!!! Aku dah tak tahan lagi..............!Mat Rock meluru ke bilik kecil, dan saat kaki kirinya melangkah masuk, lampu besar terpadam!
.Biarlah Cikgu Salleh marah nanti, aku sanggup terima. Katalah apa pun dari pengutuk-pengutuk setianya nanti, aku sedia tadah. Perut ini pun satu, keragam tak kira tempat tak pilih masa dah. Dan Mat rock mengambil masa yang cukup lama untuk menyelesaikan dirinya di dalam bilik itu.
Dan bila Mat Rock melangkah keluar semula, terdengar tepukan yang cukup bergemuruh dari bawah pentas. Drama dah habis, Mat Rock berkira-kira. Topeng berwajah hantu ditanggalkan. Mat Rock capai kerusi. Duduk untuk bersedia berdepan dengan sumpah seranah dari cikgu Salleh!.
Wah! Kamu cukup hebatlah Mat.........real gila!" Mat Rock terasa ada tepukan di bahu kanannya. Cikgu Salleh senyum di sebelahnya. Pun sebentar itu juga senyum Cikgu salleh bertukar menjadi keruh. Dua Tiga kali Cikgu Salleh garu kepala."Kita ada problem sikit ni...."
Mat Rock terlihat Hairul, diusung masuk dengan mata buntang serta air mulut yang terjejeh. Kemudian Hairani, yang menjadi heroin juga di usung masuk dengan tubuh yang kejang. Besar hairan berbunga dalam hati Mat Rock.
"Kamu segah kuat sangat......siap dengan mengilai lagi. Tu, apa dah jadi dengan hero dengan heroin kita tu?!" Cikgu Salleh garu kepala lagi. Mat Rock tunduk, tak berani angkat kepala. Sapa yang mandai-mandai ganti aku tadi? Mat Rock tertanya-tanya sendiri!